Sunday, August 31, 2008

Kisahku Mencari Dangsanak Paninian

BismilLahirrahmannirrahim, selawat dan salam buat rasululLah dan sekelian keluarganya serta mereka yang mengikuti mereka itu hingga akhirat...

Salam,
Nama ulun, Abd Rahim bin Durani bin Tamin bin Marin bin Julak Banjar
Ulun dilahirkan di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor pada tahun 1971

Semenjak awal tahun 2008, ulun digerakkan hati untuk menjejaki babuahan dan dangsanak paninian ulun, Tamin bin Marin dan isterinya Jamahori @Jamhoriah @ Jamania binti Haji Hashim
samada di Perak, Kuala Tungkal dan Banua Banjar

Lalu ulun pun bertanya-tanyalah kepada orang-orang tua dalam keluarga di kampung yang mungkin tahu disamping memohon kepada Allah agar dipermudahkan usaha ulun ini...

Berikut ini adalah serba sedikit maklumat yang ulun dapati, sekiranya para pembaca mengenali dan mengetahui maklumat silalah menghubungi ulun di ibnutamin@yahoo.com atau hp: 013-7376958 atau telefon 07-6996044, biiznilLah

Sekitar tahun 1920, Tamin bin Marin merantau dari Banjar ke Batu Pahat bersama anak perempuan sulungnya dan menantu. Mereka meninggalkan isteri Tamin dan anak-anak lainnya di Banjar. Nama anak sulung iaitu Rahmah dan menantunya Mukhtar.

Di Banua Banjar ini yang nama desanya belum saya ketahui...namun ada kemungkinan dari daerah Kandangan atau mungkin jua daerah Rantau.
Tamin juga ada bapa saudara bernama Haji Jantrak yang dikhabarkan meninggal dunia sekitar awal tahun 1930'an iaitu setelah 6 bulan isterinya Siti Murah meninggal dunia asbab lemas. Haji Jantrak ini ada anak perempuan bernama Masturah binti Haji Jantrak yang turut merantau ke Pontian, Johor sekitar pertengahan tahun 1930'an setelah bercerai dengan suaminya iaitu Asmawi. Masturah binti haji Jantrak ini merantau ke Pontian, Johor bersama-sama orang-orang dari kampungnya di Banua Banjar termasuk sepupunya Baniah binti Haji Kachil. Baniah binti Haji Kachil (Barabai) ini ketika itu sudah bernikah dengan Siraj bin Haji Karim (Kandangan)....

Nenek Masturah binti Jantrak ini juga ada seorang sepupu lelaki yang bernama Haji Ismail yang tinggal di sekitar Kg. Rimba Terjun, Pontian. Haji Ismail ini adalah guru agama dan guru silat sendeng yang diwarisinya dari Long Mamat Sendeng, Muar.

Haji Ismail Banjar ini berkahwin dengan seorang wanita keturunan bugis, melahirkan anak lelaki bernama Kemat. Kemat ada beberapa orang anak lelaki antaranya iaitu Salleh, Ibrahim dan Ahmad Sani. Ahmad Sani bin Kemat ini adalah seorang ahli dewan ulama PAS negeri Johor dan pernah bertanding DUN Pontian dan Tanjung Piai. Kini mengajar agama khususnya tasawuf hikam, durr annafis, kasyful asrar, sirrul asrar di madrasahnya di Kg. Sawah. Ahmad Sani ini adalah anak murid bagi haji Imam Berlian bin Abdul Manam, guru tareqat Qadiriyyah di Pekan Nanas, yang diwarisi dari bapanya Abdul Manam dari gurunya Sheikh al-Nagore, yang berasal dari Nagore, India.

Haji Ismail Banjar ini juga merupakan guru silat bagi Haji Ismail bin Syukur, iaitu imam pertama dan pembuka awal Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor.

Akan saya tulis lagi maklumat baru jika saya peroleh pada penulisan yang akan datang, insyaAllah

Sebelum ke Batu Pahat, Tamin dan anaknya singgah ke Kuala Tungkal. Di Tungkal inilah Tamin menikah dengan Jamahori @ Jamhoriah @ Jamania binti Haji Hashim iaitu anak seorang guru agama dan juga mengajar silat yang dihormati di Kuala Tungkal ketika itu. Dipercayai sekitar Parit IV, Sungai Saren atau Desa Pangkal Duri, Tungkal

Sekitar tahun 1922, Tamin dan isteri serta anaknya Rahmah dan suaminya Mukhtar meneruskan perjalanan ke Parit Berayang, Batu Pahat. Mereka berkebun di sana dengan Haji Mahok.

Pada ketika itu mereka yang membuka kebun di kawasan itu akan berurusan dengan Haji Mahok itu.

Di Parit Berayang inilah, zuriat Tamin dilahirkan, iaitu Basri dipanggil Babas tapi meninggal dunia ketika masih bayi/kecil, Esah (1928), Durani (1933) dipanggil Dudur, Muhammad (1940). Tamin ini telah membuka kebun seluas 7 ekar dan ditanam getah.

Gambar-gambar Esah binti Tamin, Durani bin Tamin dan Muhammad bin Tamin.

Pada tahun 1942, pokok getah masih kecil. Maka Tamin sekeluarga berhijrah ke Perak iaitu sekitar Parit Ampat dan kampung sekitar Sungai Gadong, arah ke Semanggol.
Di kawasan ini dikhabarkan terdapat keluarga Tamin dari Banua Banjar (Kandangan / Rantau???) dan keluarga Jamahori dari Tungkal yang telah lama menetap di sini yang telah berhijrah sekitar tahun awal 1900'an atau lebih awal??...

Mereka bertani, menanam dan menuai padi. Disini keluarga Tamin ini dibantu dan ditolong oleh keluarga yang baik dan murah hati iaitu keluarga Haji Ijam @ Ajam. Muga Allah merahmati keluarga yang baik dan murah hati ini. Jika ada waris mereka, ingin saya berhubung silaturrahmi, biiznilLah...

Anak sulung Tamin, Rahmah dan suaminya Mukhtar tinggal di Parit Ampat, manakala Tamin dan isterinya serta 3 anaknya lagi di kampung sekitar Sungai Gadong arah ke Semanggol.

Dikhabarkan di Parit Ampat ini terdapat tanah seluas beberapa ekar atas nama Tamin bin Marin @ Maring yang sehingga hari ini diusahakan oleh sebuah keluarga yang saya tiada maklumat mengenainya. Adalah berkemungkinan diuruskan oleh keluarga Tamin atau keluarga Jamahori yang telah lama menetap disana, pada tahun 1940'an tersebut diusahakan dengan tanaman padi, waulLahu a'lam...

Dikhabarkan bahawa keluarga Tamin atau Jamhori di Parit Ampat atau di kampung sekitar Sungai Gadong, Semanggol ini, ada melahirkan anak-anak yang menjadi ustaz yang terkenal dikawasan tersebut, namun saya tiada maklumat lanjut mengenai mereka..... Pada tahun 1970'an mereka ada menziarahi Jamahori yang ketika itu Jamhori telah bermukim di Singapura. Nenek saya Jamahori meninggal dunia di Singapura tahun 1974/75.

Sekitar tahun 1945, Tamin meninggal dunia. Tinggallah balunya Jamahori menyara 3 anak dengan menjual beras cupak di tepi jalan di kampung sekitar Sungai Gadong, arah ke Semanggol dan di pekan arba?? disamping mengajar mengaji al-Qur'an kepada anak-anak kampung tersebut iaitu antara tahun 1942 hingga 1947.

Dan AlhamdulilLah walaupun agak miskin tapi Jamhori ini dihormati dikalangan penduduk kampung disana kerana mungkin mengajar mengaji qur'an kepada anak-anak penduduk disana ketika itu. Anak perempuan Jamahori iaitu Esah telah berkahwin dengan seorang pemuda banjar disana dan mendapat seorang anak.

Pada tahun 1947, dikhabarkan bahawa getah di Batu Pahat sudah boleh ditoreh, maka Jamahori dan anak-anaknya balik semula ke Parit Berayang, Batu Pahat. Suami Esah hanya ikut beberapa ketika di Parit Berayang kerana keluarganya di Banjar memanggilnya pulang. Maka bercerailah Esah dengan suaminya itu. Berkenaan anak mereka saya tiada maklumat...

Manakala Rahmah dan suaminya Mukhtar dikhabarkan pulang semula ke Banua Banjar, (daerah Kandangan / Rantau ???) lewat tahun 1940'an setelah kematian bapa mereka Tamin. Samada mereka ini ada meninggalkan zuriat di Parit Ampat tersebut, tiada saya maklumat mengenainya...hanya yang saya dikhabarkan mereka ada anak perempuan yang lahir tahun sekitar 1942/43

Sekiranya para pembaca blog ini yang mengenali atau ada maklumat mengenai Rahmah binti Tamin bin Marin bin Julak dan suaminya Mukhtar di Banua Banjar, silalah menghubungi saya, insyaAllah

Berkenaan keluarga Jamahori di Kuala Tungkal

Bapa Jamahori iaitu Haji Hashim adalah seorang guru agama yang dihormati di Kuala Tungkal tahun sekitar 1920'an. Ada kemungkinan beliau ini murid kepada Haji Abdul Rahman Siddiq al-Banjari (wafat 1939), mufti kerajaan Inderagiri yang tinggal di Sapat, ketika itu.

Haji Hashim ini mempunyai beberapa anak yang saya ada maklumat iaitu Jibrail, Natrah, Natijah, Yunus.

Jibrail dan Natrah amat pandai mengaji dan membaca ayat-ayat al-Qur'an. Namun dikhabarkan bahawa mereka telah 'ghaib' ketika kanak-kanak, tapi tidak serentak 'ghaib'nya, waulLahu a'lam...

Yunus ini pernah berkirim khabar dengan nenek saya Jamahori antara tahun 1950'an hingga 1960'an, kemudian terputus hubungan...

Jika para pembaca blog ini mengetahui akan keluarga Haji Hashim serta keturunannya di Kuala Tungkal, haraf sudilah menghubungi saya di ibnutamin@yahoo.com atau hp: 013-7376958 atau telefon 07-6996044 (pejabat) , 07-6993220 (rumah)

Adalah dikhabarkan bahawa keluarga pesirah atau pemimpin di Kuala Tungkal iaitu pesirah H.M. Tahir bin pesirah Haji Asmuni bin Saidon dan ahli keluarga lainnya seperti Haji Sadri anak kepada nenek Jamah binti Ali bin Alias turut mengenali keluarga Jamhori binti Haji Hashim diatas.

Haji Sadri kini dikhabarkan berniaga di Pekan Tembilahan.

Nenek Jamah binti Ali bin Alias ini ada adik iaitu Zainab dan Manis dan adik lelaki iaitu Abas bin Ali bin Alias. Kesemua mereka ini termasuk ibu kepada Jamah iaitu Rahmah adalah berasal dari Pontian, Johor yang kemudiannya merantau ke Parit, Perak kemudian tahun 30'an telah hijrah ke Kuala Tungkal.

Akan tetapi ayah Jamah iaitu Ali bin Alias dan adik Jamah iaitu Napiah tidak ikut ke Tungkal tapi pulang semula ke Pontian iaitu di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian, Johor. Warisnya Abdul Rahman bin Napiah masih tinggal di Kampung Sawah ini berumur kira-kira 63 tahun

Haji Asmuni diatas adalah adik-beradik kepada Hajjah Aisyah @ Basyariah, di Parit Maimon, isteri kepada Panglima Salleh Banjar, Selempang Merah yang mengetuai perang keatas kominis di Batu Pahat selepas zaman Jepun dahulu.

Selain keluarga pesirah ini ada satu lagi keluarga yang mengenali keluarga Haji Hashim iaitu keluarga Haji Sapri bin Haji Abdul Jalil. Haji Sapri ini meninggal awal tahun 2000 di Kampung Sawah, Pekan Nanas, namun beliau ada anak perempuan yang bernama Badariah binti haji Sapri yang pernah tinggal di Thehok, Enok, suaminya penghulu Hamid B. , maklumat lanjut mengenai keluarga ini saya masih mencari, muga dipermudahkan Allah, insyaAllah...

Maklumat terkini 27/09/2009, yang saya perolehi dari Encik Sabran bin Alwi berasal dari Parit III, Kg. Nelayan, Tungkal, kini menetap di Pekan Nanas, Johor. Bahawa nenek johor @ hj. Sapri ini ada adik perempuan yang dipanggil nenek Salak binti Hj. Abdul Jalil, suaminya dipanggil tok Bilal @ Darham yang tinggal di sekitar Sungai Saren, Parit Empat, Tungkal. Anak mereka yang bernama Hamid pernah menjadi ketua RT, di Parit IV, Sungai Saren, Tungkal. Seorang lagi anak mereka bernama Samad dikhabarkan berniaga beras di pekan Kuala Tungkal. Harus juga keluarga ini mengenali keturunan moyang saya Hj. Hashim tersebut. Haji Sapri adalah nenek saudara kepada Encik Sabran tersebut di atas.

Sekian dahulu, saya akan menyambung menulis maklumat lanjut nanti, biiznilLah

Diucapkan selamat menyambut bulan ramadhan dan selamat berpuasa
wassalam
ibnutamin

2 comments:

Unknown said...

Salam Abd Rahim;

Ulun kawa mandoa akan haja agar andika kawa tatamu awan bubuhan awan kulaan paninian...

mazlan2008@gmail.com
anak banjar sg leman sakincan selangor

ibnutamin albanjari said...

berikut email dari dr.m kasim, phd, UTM

A Rahim,

Nice to hear from you. Ramadhan Mubarak.

Arwah Nenek Johor ada satu saja anak di Indonesia. Nama dia Badariah. Dulu dia tinggal di Thehok, Enok. Suami dia bekas penghulu, namanya Hamid B. Yang di Tungkal tu kalau tak silap, adik perempuan Nenek Johor. Tak ingat nama dia. Tapi anak dia ada beberapa orang di Tungkal - Arwah Karim. Dia ada seorang adik beradik lagi yang buat perniagaan beras, tapi saya tak ingat nama dia.

Mak cik Badariah dah berpindah ke Jakarta, ikut anak-anak dia. Saya rasa mereka dah tidak ada lagi di Enok. Kalau nak tahu lebih detail, cuba jumpa Sabran Alwi atau Ramli Alwi (dulu dia tinggal di Kg Desbaru, jalan ke rumah Hj Ibrahim Kemat). Saya dengar Sabran dah duduk pekan nenas. Kedua-dua mereka selalu balik ke Kuala Tungkal.